Popular Posts

Thursday, December 9, 2010

Pergerakan Asas Lokomotor, Bukan Lokomotor & Manipulatif Alatan

1.0 TAJUK

Pergerakan Asas Lokomotor, Bukan Lokomotor dan Manipulatif Alatan

2.0 PENGENALAN

Pendidikan Pergerakan merupakan salah satu bidang dalam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Ia terbahagi kepada empat komponen iaitu gimnastik pendidikan, gimnastik artistik, gimnastik irama, dan pergerakan kreatif. Melalui Pendidikan Pergerakan, murid-murid dapat megenali potensi tubuh badan mereka dalam melakukan pelbagai pergerakan. Sehubungan dengan itu, secara tidak langsung, pelajar akan memperoleh pemahaman tentang keadaan alam fizikal yang melibatkan perkara abstrak seperti masa, jarak, hala, bentuk, saiz, kepantasan dan hubungannya dengan pergerakan yang dilakukan.

Pakar-pakar dalam Pendidikan Jasmani (Gallahue, D.L., 1996; Gabbard, C., LeBlanc, B. & Lowy, S., 1994; Burton, 1977) membahagikan pergerakan asas kepada tiga iaitu pergerakan lokomotor, pergerakan bukan lokomotor dan manipulasi alatan.

2.1 Pergerakan Lokomotor

1. Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang memerlukan seseorang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dengan kata lain, dasar menyokong pelaku pergerakan berubah mengikut pergerakan.

2. Pergerakan lokomotor berkaitan dengan gerakan atau aliran. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan, kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor, gerakan ini melibatkan arah, aliran, haluan dan masa.

3. Pergerakan lokomotor dibahagikan kepada dua:

a) Lokomotor beritma sekata

b) Lokomotor beritma tidak sekata

2.1.1 Lokomotor Beritma Sekata

1. Berjalan

2. Berlari

3. Melompat (mendarat dengan dua kaki)

4. Hop (melompat dan mendarat dengan sebelah kaki)

5. Leap (melompat serta larian memanjang dilakukan berterusan dengan kaki berselang-seli)

2.1.2 Lokomotor beritma tidak sekata

1. Skip

2. Mengelongsor

3. Galop

2.2 Pergerakan Bukan Lokomotor

1. Pergerakan bukan lokomotor merupakan pergerakan yang tidak mengubah dasar menyokong pelaku pergerakan. Ia dilakukan dalam keadaan tidak bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Pergerakan lokomotor juga diertikan sebagai keupayaan menggerakkan bahagian tubuh badan tanpa beralih tempat.

2. Antara pergerakan-pergerakan bukan lokomotor ialah:

a) Membongkok

b) Meregang

c) Mengilas

d) Memusing

e) Menolak

f) Menarik

g) Hayun

h) Bangkit

i) Rebah

j) Berbuai-buai

2.3 Manipulasi Alatan

1. Kemahiran ini merupakan kemahiran asas yang dapat menyediakan diri pelajar untuk mempelajari asas sukan dan seterusnya menguasai kemahiran sukan yang pelbagai. Pembelajaran kemahiran ini mesti melibatkan manipulasi alat seperti pundi kacang, bola kecil, bola besar, gelung rotan, tali dan sebagainya yang berbeza dari segi bentuk, saiz dan komposisi.

2. Manipulasi alatan ialah bagaimana cara kita menggayakan atau mempergunakan alatan dengan cara yang betul dan cekap untuk membentuk gerakan.

3. Kemahiran manipulasi alatan dapat meningkatkan koordinasi anggota badan contohnya, tangan-mata, kaki-mata dan lain-lain.

4. Pada tahun 1988, Thomas, Lee & Thomas, menyatakan bahawa manipulasi alatan melibatkan tiga aspek, iaitu:

a) Memberi tenaga kepada objek

(Melontar, menyepak, merejam, mengumpan, memukul, membaling)

b) Menguasai objek

(Menangkap dan menyambut, menahan)

c) Mengawal objek

(Menggelecek dan memantul bola)

5. Kemahiran manipulasi alatan hendaklah dibina di peringkat umur pra sekolah atau sekolah rendah.

3.0 MATLAMAT

Kertas kerja ini disediakan sebagai satu perantaraan untuk memahami dan menerima bimbingan yang lebih lanjut tentang pergerakan asas. Perkara yang ingin dilihat adalah keupayaan kanak-kanak melakukan pergerakan-pergerakan asas. Selain daripada itu, amali pergerakan asas ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang pergerakan asas yang lebih mencabar dan kompleks mengikut tahap kemampuan masing-masing, di samping mengikut peringkat umur. Sehubungan dengan itu, amali pergerakan asas ini secara tidak langsung dapat membentuk dan melatih pelajar agar mempunyai badan yang sihat dan cergas serta minda yang cerdas. Di samping itu juga, melalui pendidikan pergerakan, kanak-kanak dapat mencuba sesuatu kegiatan dan perlahan-lahan pengalaman itu akan membawa kepada perkembangan fizikal, intelek, sosial dan sebagainya. Pendidikan pergerakan asas merupakan salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan keseluruhan pelajar dalam membentuk sikap sahsiah pelajar tentang keperluan sosial, emosi dan estetik. Memandang kepentingan ini, tujuan amali pergerakan asas ini adalah untuk membantu kanak-kanak membina kemahiran pergerakan asas. Pergerakan kemahiran persepsi motor akan membantu pelajar berjalan, berlari, melompat dengan betul, mengetahui cara duduk, berdiri dengan betul dan sebagainya. Manipulasi alatan pula membantu pelajar menggunakan alat dengan cara betul dan membentuk kemahiran dalam sukan apabila pelajar dewasa.

4.0 OBJEKTIF

Antara objektif kertas kerja amali pergerakan asas ini ialah seperti berikut:

1. Menguji para pelajar tentang kemahiran pergerakan asas

2. Membolehkan para pelajar melakukan pergerakan mengikut keupayaan diri

3. Memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang pelbagai pengalaman pergerakan

4. Membimbing para pelajar untuk menggabungkan pergerakan menggunakan seluruh anggota badan dalam melakukan pergerakan

5. Melatih murid-murid melakukan pergerakan asas dengan cara yang betul dan selamat untuk menjaga dan mendapatkan postur yang baik dalam pergerakan

6. Memupuk kesungguhan, imej kendiri, keyakinan dan sikap optimis dalam diri pelajar

5.0 TARIKH

28 hingga 29 April 2010

6.0 TEMPAT

Gimnasium Saidina Abu Bakar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Pendidikan Islam, Selangor

7.0 KUMPULAN SASARAN

Pelajar Tahun 6

8.0 PANDUAN PELAKSANAAN DEMONSTRASI

8.1 Prosedur Pelaksanaan Demonstrasi

Dalam amali pergerakan asas ini, setiap pelajar dikehendaki mencipta sekurang-kurangnya 25 pergerakan. Ini bermakna, setiap pelajar mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 25 perlakuan yang berbeza-beza. Dalam melakukan pergerakan asas ini, pelajar perlu bergerak memenuhi kesemua ruang dengan memanipulasikan alatan seperti bola, tali, gelung rotan, belantan, kayu atau pundi kacang. Pelajar perlu bijak menyusun pergerakan supaya perlakuan yang akan dilakukan mudah dan licin. Pelajar juga boleh melakukan pergerakan mengikut kelajuan iaitu melakukan pergerakan dengan pantas, sederhana pantas mahupun perlahan ataupun mengikut aras iaitu daripada aras tinggi sederhana dan rendah. Pergerakan yang dilakukan juga mestilah melibatkan pelbagai arah.

1 comment: